Runtuh lagi..

Isnin, 29 Mac 2010




Dalam keriuhan 1 Malaysia membincangkan satu persatu runtuhan ranap menyembah bumi. Kampus UMT tidak dapat lari daripada menghadapi keadaan sama. Sungguhpun bangunan yang dibina belum lagi siap sepenuhnya,ia sudah memakan korban awal. Khabarnya kejadian adalah berpunca daripada kecuaian pekerja. Namun jika dilihat dari sudut lain, adakah berita ini benar.

Adakah mungkin bahan asas bangunan kurang kukuh??
Adakah mungkin tiada pemantauan dari pihak atasan??
Adakah ada isyarat tersembunyi??

Jawapannya ada pada kita semua setelah memandang ke belakang melihat kronologi keruntuhan bangunan satu Malaysia.

Ini bukan yang pertama dan bukan juga yang terakhir. Barangkali ada lagi yang bakal retak menanti belah. Yang retak sudah nampak. Yang belah pun sudah ada. Bangunan B2 Asrama Fasa 1 sudah jelas riak muka kerunsingannya.

Kami bukan mengajar anda untuk jadi pesimis. Hanya menjadikan pengalaman sebagai sandaran. Akan tetapi kami mahu anda berfikir optimis lebih jauh ke depan, bukan ke belakang bagi mengatakan mahasiswa punya suara. Mahasiswa wajar untuk rasa terpanggil untuk memastikan kebajikan dan keselamatan terjaga. Di atas 'stand' Pro-Mahasiswa,kami mengharapkan kepada pihak berwajib untuk segera melakukan pemeriksaan ke atas semua bangunan yang dikenalpasti berbahaya supaya keselamatan penghuni UMT terjamin. Kami amat yakin bahawasanya kita sama-sama setuju bahawa kita tidak mahu kejadian yang sama seperti hari ini berulang di masa akan datang.



Sudah runtuh mati lah pula.

Seorang Maut, Empat Cedera, Para Besi Bangunan Umt Runtuh
KUALA TERENGGANU, 29 Mac (Bernama) -- Seorang buruh warga Bangladesh maut, manakala empat lagi rakannya cedera apabila para besi bagi pembinaan bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur Universiti Malaysia Terengganu (UMT) runtuh dalam satu kejadian petang Isnin.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu Pauzan Ahmad berkata buruh terbabit tertimbus dalam konkrit simen yang masih basah dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya empat rakan mangsa dilaporkan cedera termasuk seorang cedera parah akibat dihempap dan terjatuh dari para besi yang runtuh ketika kesemua mangsa sedang melakukan kerja-kerja pembinaan konkrit tangki air dan membancuh konkrit di bangunan itu pada kira-kira pukul 5.10 petang.

Bagaimanapun, identiti kesemua mangsa belum diperolehi, katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

"Ketika sedang melakukan kerja-kerja menyiapkan tangki air di tingkat empat bangunan itu iaitu di ketinggian lapan meter, para besi yang diduduki oleh beberapa pekerja tiba-tiba runtuh bersama konkrit tangki air yang masih belum keras.

"Konkrit bersama para besi itu kemudian menimpa beberapa orang lagi pekerja Bangladesh yang sedang melakukan kerja-kerja membancuh simen di bawah," katanya.

Pauzan berkata kesemua mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Anggota penyelamat terdiri daripada polis, bomba, dan Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) masih berada di tempat kejadian sehingga pukul 8 malam ini untuk menjalankan kerja-kerja mencari dan menyelamat jika terdapat mangsa yang masih tertimbus ekoran kejadian itu.

Bangunan Institut Oseanografi dan Institut Akuakultur UMT setinggi empat tingkat itu mula dibina pada 15 Dis 2008 dan dijangka siap 18 Oktober tahun ini.

Seorang saksi yang juga juruperunding untuk projek berkenaan Sharif Dollah, 30-an berkata beliau berada di kawasan berhampiran apabila tiba-tiba terdengar bunyi runtuhan.

"Saya nampak beberapa orang pekerja Bangladesh terjatuh dari para besi yang runtuh itu, dan apabila menghampiri tempat kejadian saya dapati mereka telah berlumuran dengan simen yang masih basah dan ada yang berdarah," katanya. Beliau berkata, ketika kejadian terdapat kira-kira lapan orang pekerja Bangladesh sedang melakukan kerja-kerja di situ.

Sementara itu, Menteri Besar Terengganu Datuk Ahmad Said turut melawat tempat kejadian sejurus selepas menerima maklumat tentang kejadian itu.

Beliau melahirkan rasa sedih terhadap kejadian itu dan menyifatkan ia berpunca daripada kecuaian pekerja itu sendiri.

Sehubungan itu, beliau menasihati pekerja-pekerja pembinaan supaya mengutamakan aspek keselamatan untuk mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti kejadian hari ini.



-- BERNAMA

Selamat Menjawab Peperiksaan Kepada Mahasiswa UMT

Ahad, 28 Mac 2010
Menggengam segulung ijazah
Mendengar tangis manusia
Di bawah hancing bingkai langit
Melihat sungai kekuningan
Dikencing awan hitam kemerdekaan
Di susuk rimba
Terdengar pula suara siamang
Memekik menjadi hakim
Di mahkamah hukum-hukum rimba
Dan ijazah yang diterima
Terpaksa menjadi bahan-bahan buangan
Di dalam tapak pelupusan sampah

Aku ingin bertanya
Ke mana intelek kebenaran
Aku harus bertanya
Di mana hasil tangan pengenggam ijazah
Mahasiswa adalah senjata
Yang akan gagah bersoal
Mahasiswa bukan peralatan kuda
Yang akan ditunggangi tanpa bertanya

Mengapa setiap perkara yang baik
Pasti akan ada yang jahat
Mengapa setiap perkara yang miskin
Pasti akan ada yang kaya
Mengapa setiap perkara yang adil
Pasti akan ada yang zalim
Ya, sudah lebih lima puluh dua tahun
Mengapa suara mahasiswa terus membisu
Kemerdekaan hari ini milik siapa
Mahasiswa harus menjadi suara
Kepada rakyat masa depan
Mahasiswa perlu mendengar nadi negara
Hari ini mahasiswa harus melihat
Ada di atas meludah yang di bawah
Ada yang berkuasa membunuh yang tak berdaya
Ada yang kaya memerah keringat yang miskin
Ada yang kufur memerintah yang beriman
Mana suara mahasiswa waktu ini
Aku ingin bertanya
Mahasiswa membisu atas dasar apa?
Aku mahu bertanya
Mahasiswa berdiri atas dasar apa?
Aku harus bertanya
Mahasiwa belajar atas dasar apa?
Mengapa siamang yang menjadi hakim?

Lihat ada petani yang hilang sawahnya
Dengar ada penduduk dirobohkan rumahnya
Ideologi-ideologi penindasan
Yang dicuri fahamannya dari intelek penjajah
Sering saja tidak menyebelahi sosio rakyat
Orang-orang yang kaya makin disayang
Orang-orang yang miskin makin terbuang
Tanah-tanah di bukit
Sudah tidak ada lagi yang membela
Kelaparan anak-anak fakir miskin
Makin berleluasa mati kebuluran
Keruntuhan akhlak, penderaan, kemaksiatan
Terus menjadi raja di bumi ini
Mahasiswa harus bertanya tentang perkara ini
Ya, mahasiswa tidak buta
Mahasiswa tidak pernah bisu
Mahasiswa perlu melihat dan mendengar
Antara ketawa riang penindasan
Dan redup tangisan pengharapan
Kedaulatan kebenaran harus dibangunkan
Binatang kepalsuan harus dihapuskan
Maka segulung ijazah akan menjadi kejayaan
Yang bermakna dalam kehidupan sehari harian

Di bawah bumbung fasaliti pendidikan ini
Mahasiswa wajar bertanya
Kita dididik untuk berdiri
Di pihak yang mana?
Ilmu yang diajarkan disini
Sesungguhnya adalah suara pembebasan
Yang akan menyokong sebuah sosio kehidupan
Mahasiswa bukan mengejar kekayaan
Mahasiswa bukan bermatlamat kebendaan
Mahasiswa bukan bercita-cita untuk menindas
Rakyat menuntut jawapan

Esok hari langit akan terang kembali
Siang akan terbit menjelma
Siamang di rimba masih bersorak
Sedang rakyat makin mati jiwanya
Dan jawapan dari mulut-mulut intelek mahasiswa
Ditagih bagi membela dan menjaga
Ya, suara mahasiswa akan menjadi hikmah
Dicampak ke laut menjadi pulau
Dicampak ke darat menjadi istana
Rakyat masih menagih kata-kata mahasiswa
Ada yang dipersada mendera
Ada yang disinggahsana menzalimi
Ada yang syurga dunia merampas
Hanya demi sebuah kerakusan

Mahasiswa harus terus menerus bertanya
Mahasiswa harus terus menerus membela
Tidak selamanya siamang menjadi hakim di rimba
Tidak selamanya rakyat terus dipersia
Biar segulung ijazah menjadi syurga
Bagi anak-anak kecil pada masa hadapan
Ayuh mahasiswa usah berhenti bertanya
Mahasiswa tidak buta
Mahasiswa tidak bisu
Mahasiswa tidak tuli
Di bawah payung pendidikan di sini
Kita dididik untuk memihak pada siapa?

Melacur Pemikiran Mahasiswa- Agenda Dajjal

Rabu, 24 Mac 2010
salam sejahtera semua- baru2 ini di Kuala Lumpur diadakan satu kongres mahasiswa diseluruh malaysia bagi membincangkan hala tuju mahasiswa pada masa akan datang.Di samping itu, kongres ini juga diadakan bagi mendapatkan maklumat perkembangan kepimpinan dan status quo-mahasiswa di kampus-kampus lain. Kongres ini anjuran SMM-Solidariti Mahasiswa Malaysia yang dipengerusikan oleh Saudara Shazni Munir, Presiden PMIUM. Khabarnya sebelum berlangsung kongres tersebut, terdapat unsur-unsur sabotaj dari pihak yang tidak menyenangi perhimpunan tersebut.Walaubagaimanapun,Alhamdulillah dengan izin Allah kongres tersebut dapat berjalan dengan lancar,TAHNIAH!!

disini ProM UMT ingin berkongsi dengan rakan2 semua 'larangan ' dari 'tangan-tangan ghaib' yang takut dengan bayang-bayang mahasiswa, menggunakan ProUMT kononnya memberi arahan berupa ugutan yang tidak berasas, mengaitkan dengan pembangkang kononnya dengan kehadiran YB IZZAh ANWAR itu adalah agenda politik.

ProM UMT ingin menempelak pihak 'pelacur demokrasi' kampus ini supaya membuat penilaian yang bijak terhadap sebarang kenyataan yang tidak berasas. ProM UMT berpendirian sebarang agenda politik murahan seperti ini tidak akan dihirau oleh para mahasiswa yang bijak menilai.ProM juga mengingatkan pihak tersebut jangan menggunakan institusi mahasiswa bagi melacur dan membina pengaruh untuk kepentingan politik.

Pendedahan seterusnya mengenai program sulit dan perbincangan terbuka oleh pihak 'kerbau tunggangan' ini dengan YB-YB 'halal' akan kami dedahkan dalam masa yang singkat nanti.

p/s : surat terbuka kepada setiap pelajar megenai larangan tersebut :

PER: Larangan penglibatan pelajar IPTA dalam perjumpaan/ perhimpunan
berunsur politik.

Saudara/i pelajar UMT,

Dengan hormatnya saya diarah untuk merujuk perkara di atas.

2. Menurut maklumat yang boleh dipercayai, satu perjumpaan gerakan
mahasiswa pro M akan diadakan pada 20 Mac 2010 yang akan dirasmikan oleh
YB Nurul Izzah. Antara agenda perjumpaan tersebut ialah membincangkan
peranan mahasiswa untuk membantu pakatan pembangkang.

3. Sehubungan dengan itu, adalah dimaklumkan bahawa perjumpaan ini adalah
menyalahi Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) dan tindakan
sewajarnya boleh diambil kepada mana-mana pelajar yang menghadiri
perjumpaan ini atau terlibat secara langsung dengan gerakan politik.

4. Oleh itu, saudara/i dinasihatkan untuk mengelakkan dari menghadiri
perjumpaan ini dan juga perjumpaan seumpama ini dalam masa-masa akan
datang.

Sekian untuk makluman, perhatian dan tindakan semua pelajar UMT selanjutnya.

Terima kasih.

Yang menjalankan tugas,

Wan Abdul Manan Wan Abdullah
b.p. Naib Canselor
Universiti Malaysia Terengganu


_______________________________________________
Warga.pelajar mailing list
Warga.pelajar@group.umt.edu.my
http://group.umt/mailman/listinfo/warga.pelajar

Mahasiswa boleh kritik kerajaan- Saifuddin

Khamis, 18 Mac 2010
salam kawan-kawan semua..disini ProM mengajak para warga UMT untuk meneliti sendiri pandangan dan lontaran idea dari Timbalan Menteri Pengajian Tinggi , Datuk Saifuddin Abdullah berkenaan dengan peranan mahasiswa, ProM mengajak para mahasiswa untuk menyahut cabaran ini dengan megubah sikap kepada lebih berjiwa besar dan bukan hanya menjadi 'budak suruhan ' sahaja..mahasiswa bebas bersuara, jiwa merdeka, dan mampu menjadi check and balance kepada Universiti mahupun kerajaan-
Suara Mahasiswa, Suara Keramat -

KUALA LUMPUR, 12 Mac: Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mengingatkan mahasiswa di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) agar sentiasa memperbetul setiap perkara yang dilihat salah bukan sahaja di universiti malah dalam pentadbiran negara.

Bercakap dalam satu forum anjuran Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) di Fakulti Sastera Sains Sosial Universiti Malaya malam tadi, Saifuddin berkata, ianya memerlukan keberanian dalam diri setiap mahasiswa dan mereka harus bertindak secara berjemaah.

Mahasiswa juga tegasnya boleh melontarkan kritikan kepada kerajaan dan kerajaan pula tidak seharusnya melabelkan pengkritik sebagai pembangkang.

"Mahasiswa boleh mengkritik Kerajaan, dan Kerajaan tidak boleh cop pengkritik sebagai pembangkang," katanya di hadapan lebih 150 mahasiswa yang hadir.

Menyentuh mengenai sudut pidato yang dihidupkan semula di IPT selepas 20 tahun ianya dihentikan, Saifuddin berkata, sudut pidato merupakan satu platform yang sesuai untuk mahasiswa melontarkan idea mereka melalui pengucapan awam.

Bagaimanapun, beliau yang mengakui mahasiswa mempunyai potensi untuk menggugat pentadbiran universiti mahu Hal Ehwal Pelajar (HEP) agar meletakkan halatuju yang betul dan memahami matlamat sudut pidato dihidupkan semula.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak universiti tidak mengenakan terlalu banyak peraturan terhadap penuntut yang ingin membuat pengucapan awam di sudut pidato sebaliknya memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk mengendalikannya.

"Apa maksud mahasiswa menggugat? Mengugat apa? Menteri? Organisasi, HEP, atau KPT?Amalan buruk, rasuah, kebejatan, kebobrokan?

"Melalui sudut pidato. mahasiswa ada potensi menggugat. Sebab itu HEP perlu ada halatuju yang betul dan faham matlamat sudut pidato. Tak perlu banyak undang-undang dan arahan dalam sudut pidato. Biarkan mahasiswa bebas mengendalikan sudut pidato.

"Mahasiswa boleh berfikir dan menentukan halatuju kampus sendiri," katanya.

Sudut pidato kembali diwujudkan di UM selepas lebih 20 tahun ia diharamkan apabila Akta kolej dan Universiti (AUKU) diperkenalkan.

Dua lagi panelis forum 'Mahasiswa Menggugat: Antara Realiti dan Fantasi' itu, Dekan Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM, Prof. Dr. Redzuan Osman dan bekas bekan fakulti berkenaan, Prof. Datuk Paduka Mohamad Abu Bakar yang juga penulis buku 'Mahasiswa Menggugat'.

Menanti kebebasan bersuara 'Parlimen Mahasiswa'

Pro Mahasiswa

- Sedutan daripada cetusan idea dan agenda nasional ProM yang berjiwa besar -

Parlimen mahasiswa yang dicetuskan oleh Mohammad Syafiq Abdul Aziz, mantan Yang Di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar (YDP MPP), Universiti Sains Malaysia (USM) telah dipersetujui penubuhannya oleh pihak Kementerian Pengajian Tinggi.

Warga kampus USM sememangnya sangat berlapang dada serta berfikiran terbuka dengan Parlimen Mahasiswa ini walaupun ramai lagi mahasiswa yang tidak tahu dan sedar mengenai penubuhannya. Dalam hal ini, Pro Mahasiswa sangat berbesar hati dan ternanti-nanti kehadiran Parlimen Mahasiswa itu sendiri.

Beberapa minggu yang lalu, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar (BHEPP) dan MPP mengadakan bengkel penggubalan Parlimen Mahasiswa. Hal ini untuk memastikan kelangsungan kaedah, peraturan dan undang-undang parlimen tersebut.


Berdasarkan temubual Pro-M dengan seorang peserta bengkel tersebut, Muslihah binti Mazlan, beliau mengakui terdapat kekeliruan dan kekaburan dengan pelaksanaan parlimen tersebut. Hal ini sudah terang lagi bersuluh kerana persidangan Parlimen Mahasiswa adalah dibatasi oleh Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) dan juga bakal terikat dengan sebuah lagi akta yang dalam proses penggubalannya.

Perkara ini sekaligus mengundang perselisihan faham kerana melalui takrifan parlimen itu sendiri merujuk kepada sebuah majlis yang mempunyai kuasa untuk membuat undang-undang. Jadi mengapakah mahasiswa dalam konteks pelaksanaan parlimen perlu dibatasi oleh AUKU?


Bukankah ia dikatakan bakal menjadi platform untuk mahasiswa melontarkan idea dan pandangan tentang masalah yang berlaku di kampus dan dalam Malaysia (kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi)?


Memang terdapat pihak-pihak yang menyatakan mahasiswa tidak salah bercakap tentang hal politik negara dalam persidangan, namun ia adalah secara akademik. Jelasnya, sebarang kritikan akan menimbulkan isu bahawa mahasiswa membangkang itu dan ini. Justeru, pelbagai persoalan yang bermain dalam benak fikiran mahasiswa.

Sekiranya Parlimen Mahasiswa tersekat dan disekat oleh AUKU , maka di manakah hak kebebasan bersuara mahasiswa? Kebebasan bersuara yang dimaksudkan di sini adalah tiada sebarang sekatan oleh mana-mana pihak berkepentingan dalam mahasiswa untuk melontarkan idea dan kritikan membina secara akademik dan intelek.


Jikalau demikian, bagaimanakah suara mahasiswa ini akan menyumbang kepada pembangunan negara? Mahasiswa perlu bertindak sebagai ‘check and balance’ kepada seluruh persekitarannya. Sekali lagi dijelaskan di sini, pendirian Pro-M sangat meraikan persidangan Parlimen Mahasiswa ini dan tidak sama sekali berniat untuk menghentikan penubuhannya.

Selain itu, ketika segala undang-undang berkaitan Parlimen Mahasiswa ini ‘diharmonikan’ oleh pihak-pihak tertentu, tidak ada seorang mahasiswa pun didedahkan tentangnya. Adakah ia bercanggah daripada resolusi bengkel penggubalan undang-undang yang terdahulu diadakan?


Tiada siapa yang tahu dan sudah pastinya apabila ia diwartakan, amat sukar untuk undang-undang tersebut dipinda kerana akan mengambil masa yang lama. Sebagai contoh, pemindaan AUKU seksyen 15 yang mengambil masa yang panjang dan apa yang dipinda itu ‘masih belum sempurna’. Justeru, inilah yang menjadi sebahagian perkara yang amat dikesali oleh peserta bengkel tersebut.

Kerana kami merasakan sukar untuk mendapat pengiktirafan universiti agar suara mahasiswa didengari pihak atasan, oleh itu Pro-M sangat menginginkan kelancaran dalam penggubalan perlembagaan Parlimen Mahasiswa ini.


Pihak Pro-M tidak pernah melakukan kezaliman kerana menghukum sesuatu terhadap perkara yang belum dipastikan. Malah, merahsiakan perwartaan undang-undang daripada pihak mahasiswa merupakan suatu tindakan yang ‘tidak meletakkan sesuatu pada tempatnya’.

Maka dengan itu, pihak Pro Mahasiswa bangkit untuk menuntut dua tuntutan berhubung Parlimen Mahasiswa, iaitu:

1. Undang-undang termasuk tatacara, kaedah dan sebagainya dibentangkan kepada seluruh mahasiswa kampus USM sebagai penjelasan kepada mahasiswa walaupun ia telah ‘diharmonikan’.
2. Sebarang kritikan, penambah baikan, cadangan dan saranan boleh dilakukan terhadap undang-undang ini oleh seluruh mahasiswa kampus USM sebelum perkara ini diwartakan.

Sekali lagi diingatkan, tuntutan ini perlu dilaksanakan sebelum perlembagaan Parlimen Mahasiswa diwartakan. Justeru, tuntutan Pro-M ini adalah untuk memastikan seluruh warga kampus USM sentiasa peka dengan keadaan dan isu yang berlaku dalam kampus.


Seterusnya, ia berfungsi untuk mencambahkan fikiran mahasiswa agar tidak terlalu tertutup dan dibelenggu oleh mana-mana pihak. Bebaskan fikiran mahasiswa.

Konklusinya, kami melihat penubuhan Parlimen Mahasiswa ini sebagai titik mula mahasiswa untuk bebas bersuara dan bukan hanya retorik politik semata-mata.



Kongres yang akan menentukan halatuju mahasiswa pada masa akan datang,
-suara mahasiswa suara keramat-