SALAM PERPADUAN... Dimanakah Hak kita ???

Isnin, 28 Disember 2009

Adakah kemudahan pelajar diutamakan? Seperti yang kita tahu, kemudahan pengangkutan kepada pelajar amat penting. Setakat ini hanya sedikit sahaja kemudahan yang disediakan. Penggunaan bas UMT adalah kurang diberi perhatian, maksudnya bilamana mahasiswa ingin menggunakan bas tersebut untuk tujuan lawatan ilmiah, adalah amat sukar untuk mendapatkannya. Walhal kita tahu betapa banyaknya bas di UMT. Tetapi pernahkah anda sebagai mahasiswa cakna pada isu ini?

Ini amat menyukarkan pelajar mahupun pensyarah yang ingin membuat lawatan. Kadang-kadang jumlah bas yang diberikan adalah tidak memadai dengan jumlah pelajar yang akan membuat lawatan. Kalau dilihat dari perspektif sebagai masyarakat mahupun pelajar, tidak hairanlah kenapa dan mengapa pelajar UMT mandum berbanding pelajar universiti lain yang setaraf.

Sedangkan bilamana melibatkan program yang bersifat hiburan, kelulusan didahulukan. Masih ingat lagi " Konsert Siti " , anda tahu berapa ribu dihabiskan oleh pihak UMT untuk konsert tersebut ??? RM 90 000..... sikit ke ???? Berapa banyak program lapangan yang boleh dilaksanakan dengan jumlah wang sebanyak itu....????

Kalau anda sebagai mahasiswa yang cakna, pasti anda kan persoalkan “bus stand” yang telah dibina tetapi sejauh mana penggunaanya untuk pelajar menunggu bas. Mungkin “bus stand” hanya pada nama sahaja, tapi fungsinya tiada. Itupun mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Tidak dinafikan ianya telah dibina tetapi setelah siap dibina ianya dijadikan kedai, semacamnya cakap tak serupa bikin.

Bukankah itu suatu pembaziran ? Anda sebagai seorang pelajar harus cakna pada kebajikan anda. 1 persoalan ingin saya lontarkan pada anda yang bergelar mahasiswa UMT, adakah anda selesa dan rasa keselamatan anda terjamin, terutamanya bilamana kita persoalkan tentang jalan "biawak "? Jalan biawak sudah tidak asing lagi dalam kalangan mahasiswa mahupun sekitarnya, kerana pelbagai cerita dan kisah telah tersebar. Contohnya kes rogol, kes curi dan banyak lagi dan yang menjadi mangsanya adalah pelajar UMT sendiri. Pasti anda terkejut bukan? Usah terkejut, ini realiti di UMT, biapun disembunyikan lama-lama pelajar akan tahu juga akhirnya. Jalan ini boleh dikatakan jalan utama untuk pelajar di asrama. Tetapi sejauh mana keselamatan jalan ini dikawal. “ kalau dah tahu jalan biawak, jalan utama para pelajar kenapa tidak diketatkan keselamatannya lagipun kan ramai pelajar yang ada kelas malam” itulah rungutan pelajar di UMT.

Bercakap pula soal kelas malam, kenapa tidak disediakan bas untuk pelajar pada waktu malam. Bukankah keselamatan pelajar perlu didahulukan? Apa guna UMT ada banyak bas tapi bas-bas tersebut tidak digunakan untuk mengangkut mahasiswa pada waktu malam khususnya ???

Ayuh mahasiswa, tentukan hak anda. Mahasiswa perlu cakna dalam apa sekalipun. “Mahasiswa diperbodohkan kemudahan diabaikan”. Inilah kata-kata yang paling tepat untuk dilontarkan. Persoalanya, adakah anda sebagai mahasiswa yang bijak bestari ingin diperlakukan begini? Di mana MPP yang sepatutnya memperjuangkan HAK MAHASISWA dan hak Kita, sedangkan MPP, kitalah yang memilih mereka semasa Pilihan Raya Kampus dulu??? Jadi, apakah peranan kita? Jawapan semuanya pada anda.Pastikan kita memilih pemimpin yang mampu 'Memperjuangkan Hak dan Maruah ' Mahasiswa UMT. Pastikan tahun ini, " Suara Mahasiswa akan menjadi Suara Keramat....

-- Pro-M--

** Suara Mahasiswa Suara Keramat **

Pro-M (UTM) Edar Petisyen Pemurnian Pilihanraya Kampus (PRK)

Di atas kesedaran untuk mempertahankan ketinggian martabat budaya ilmu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan demi menjamin suasana demokrasi tulen subur di perbukitan ilmu ini, maka kami mewakili seluruh Mahasiswa yang berdaftar sebagai pelajar Universiti Teknologi Malaysia menuntut 6 atau salah satu daripada perkara berikut dijalankan dan dikuatkuasakan dengan tegas oleh pihak pentadbiran.

1. Menukar nama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kepada Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM).
2. Mewujudkan Majlis Pengenalan Calon.
3. Menuntut agar calon dibolehkan untuk menggunakan motto dan cogankata untuk berkempen.
4. Menuntut agar semua calon yang bertanding dalam PRK diberikan kebebasan untuk berkempen di mana-mana tempat.
5. Menggesa agar calon diberikan kebebasan untuk menghasilkan poster sendiri mengikut spesifikasi yang telah ditetapkan oleh pihak Urusetia Pemilihan MPM.
6. Pengetua kolej tidak boleh terlibat sama sekali dalam urusan Pilihan Raya Kampus (PRK) dengan erti kata lain, mempengaruhi, mengugut, dan menakut-nakutkan mahasiswa.


Lihatlah dunia! Di saat mahasiswa kampus lain celik dan cakna dengan isu mahasiswa, mahasiswa UMT masih terus lena dibuai mimpi di siang hari...selesa berada di “comfort zone” sehingga tidak peduli suasana di kampus sendiri. Wahai sekalian mahasiswa UMT, bangunlah dari mimpi2, sedarlah bahwa PRK bakal menjelmakan diri..sudahkah berfikir pemimpin yang bagaimana mahu diundi..? Adakah yang hanya tahu berjoli, atau membuncitkan poket sendiri, ataupun yang setia membangun suara siswa dan siswi...? Fikir-fikirkan... Kerana apa yang pasti... Jadikanlah suara kita sebagai suara keramat...


- Suara Mahasiswa Suara Keramat -

Pro-M

SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU

Salam Sejahtera diucapkan kepada semua warga kampus UMT yang telah memulakan sesi semester Dis 09 ini. Diharap dengan berbekalkan semangat Hijrah dapat memperolehi momentum bagi meneruskan kehidupan sabagai warga yang cintakan Ilmu. Semoga dengan azam tahun baru ini dapat membantu kita mencipta sejarah tersendiri - ProMahasiswaUMT

" Suara Mahasiswa Suara Keramat "

E-Vote, Kenapa Mahasiswa kena Tolak kaedah ini....

Siswa giatkan kempen bantah e-undi
Abdul Rahim Sabri
Dis 28, 09
12:07pm
Gabungan Mahasiswa Bantah E-Undi (BANTAH) mempertingkatkan kempennya menentang sistem pengundian berkomputer (e-undi) yang digunakan di beberapa kampus universiti awam, terbaru bakal dilaksanakan di Universiti Malaya.

Dengan kerjasama Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), satu forum bagi membantah sistem tersebut dijadual diadakan di Akademi Pengajian Islam (API) pada 1 Januari ini.

Pensyarah terkenal Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Abdul Aziz Bari, wakil rakyat PKR Chang Lih Kang dan exco Persatuan Mahasiswa Islam UM Mohd Shafie Hashim akan membahaskan kontroversi tersebut forum 'E-Undi dan Masa Depan Demokrasi Kampus'

Bercakap kepada Malaysiakini pagi ini, exco MPMUM Mohd Aizat Mohd Salleh berkata forum tersebut merupakan kemuncak program BANTAH menentang sistem e-undi yang akan diperkenal pada pilihan raya kampus tersebut, pertengahan bulan depan.

Kementerian benar sudut pidato diwujudkan di IPT

Selasa, 10 November 2009

wartawanpromUMT
KEMENTERIAN Pengajian Tinggi membenarkan sudut pidato atau Speaker's Corner diperkenalkan semula di semua institusi pengajian tinggi (IPT) bagi mengasah bakat pengucapan umum berkesan di kalangan warga kampus.
Timbalan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata aktiviti yang boleh dilaksanakan pada bila-bila masa itu sebelum ini dihentikan berikutan pelaksanaan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU).
Sambil menjelaskan aktiviti itu boleh diperkenalkan semula setelah AUKU dipinda Februari lalu, beliau berkata, sudut itu memberi pelajar peluang menyuarakan pendapat menerusi pidato umum yang dinanti-nantikan warga kampus.
“Kementerian memberi peluang pelajar berkongsi pengetahuan dengan mengemukakan isu dan topik bernas untuk dikongsi bersama, selain dapat memperkemaskan sistem pengurusan sedia ada dalam usaha memartabatkan IPT.

“Mahasiswa adalah golongan pencetus minda positif dan idea membina dalam membangunkan komuniti kampus serta masyarakat sekeliling,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Hari Raya Aidilfitri 2009 Peringkat Mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Antarabangsa dan pelancaran Tabung Kemanusiaan Gempa Sumatera, di Kuala Lumpur, kelmarin.

Saifuddin berkata, pelajar bebas berpidato dengan mengemukakan isu semasa, antaranya politik, ekonomi dan sosial selain pandangan serta kritikan bernas dalam memperkasakan pentadbiran IPT dan negara.

“Kami lebih liberal dalam hal ini kerana yakin pelajar mempunyai wawasan dan pandangan jelas mengenai setiap topik dan isu yang akan mereka kemukakan.

“Usaha ini adalah antara langkah kementerian lakukan bagi melahirkan pelajar serba boleh dan mempunyai semangat juang tinggi,” katanya.

Mengimbau kembali kegemilangan sudut pidato di IPT sekitar 1960-an hingga 1970, katanya, pemimpin pelajar ketika itu di kalangan mereka yang petah berpidato dan mempunyai idea bernas untuk dikongsi bersama.

Beliau berkata, pemimpin kampus juga mempunyai pengikutnya yang berpengaruh dalam memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat, hasilnya negara mempunyai pemimpin yang berani dengan semangat juang tinggi.

“Ramai pemimpin negara hari ini lahir di kalangan pemidato yang bernas mindanya ketika di kampus dan kini menjadi tokoh disegani,” katanya.

Mengulas kemungkinan kelonggaran itu menyebabkan pelajar menjadi alat pihak tertentu menyalurkan dakyah politik mereka, Saifuddin berkata, warga kampus golongan berpelajaran.

Katanya, mahasiswa tidak terpengaruh dengan anasir negatif yang cuba mempengaruhi mereka kerana masing-masing berfikiran matang, manakala topik perbincangan pula dikupas secara rasional sesuai tahap pendidikan. - Berita Harian

Nota Kepada Mahasiswa

Rabu, 28 Oktober 2009

Nota kepada mahasiswa

Ali Bukhari Amir
Fri | Jan 30, 09 | 4:13:48 am MYT

Saudara-saudari yang dirahmati.. perhatikan tiga kalimat ini.. Keberanian, Kejujuran, dan Kebijaksanaan. Jika gabungan ketiga-tiga kalimat dan ungkapan ini akan selalu hidup bernafas dan menyala dalam hati sanubari kita, ia tentulah dapat mengembang keyakinan untuk terus hidup bernyawa dengan merdeka dalam memperjuang demokrasi universiti.

Sejak sekian lama, hidup kita diburu ketakutan. Masalahnya sekarang, bukanlah tiada orang yang cerdik dan bijaksana antara kita. Tapi, kebijaksanaan itu tidak didokongi oleh keberanian. Kalau ada kebijaksanaan yang didokongi keberanian, maka sifar kejujuran itu atau penyakit sifar keikhlasan itu akan membunuh perjuangan itu sendiri.

Oleh itu, berwaspadalah agar sentiasa wujud dalam diri kita nilai-nilai seperti ini. Sesiapa sahaja yang memiliki ketiga-tiga nilai seperti ini, maka dia tidak mudah ditipu, disesatkan oleh sesiapa, insya Allah. Isu selanjutnya yang harus dibicarakan selepas ini ialah..

Bagaimanakah cara kita mendapatkan sifat-sifat seperti ini, dan bagaimanakah kita mahu mencipta, memunculkan sosok-sosok mahasiswa sekali gus mencetak watak-watak yang unggul sebegini?

Barangkali.. jawapan yang saudara-saudara temukan dalam nota ini tidaklah tepat. Tetapi, ia setidak-tidaknya ia bolehlah menjadi sandaran dan rujukan untuk mencapai satu fikiran yang lain pula, insya Allah. Apa yang saya ingin cadangkan ialah..

Persekitaran demokrasi yang sihat
Betapa kita perlu tegakkan kembali demokrasi di dalam universiti. Universiti-universiti kita ini perlu bebas daripada segala cengkaman manusia politikus, politik kepartian. Kita boleh berhubungan dengan mereka. Tetapi, untuk mereka masuk campur dalam urusan pemilihan NC, TNC, Dekan, maka hal itu perlu dielakkan sama sekali.

Catatan nota ini menyandarkan harapannya kepada pelajar sebagai golongan yang paling ramai untuk menggalas perubahan tersebut. Persekitaran demokrasi yang sihat, juga sifat autonomi universiti yang unggul akan dapat melahirkan 'nabi-nabi dan rasul-rasul' pilihan di dalam universiti kita pada hari ini.

Sejarah membuktikan bagaimana sunnatullah telah bertindak dalam hal begini. Tarbiyyah akliah berlaku secara falsafah ketika Nabi Ibrahim a.s mencari Tuhan semasa kecilnya di dalam sebuah gua. Baginda tersasar sehingga menyangka bintang-bintang cakerawala dan bulan matahari sebagai Tuhan pada awalnya.

Tapi, tanpa campurtangan sesiapa pun, akhirnya Ibrahim a.s telah menemui jalan Tauhid! Sunnatullah terus menjalankan misi tarbiyahnya dengan meletakkan anak baginda, Ismail a.s di sebuah tanah tandus yang langsung sifar daripada medan peperangan, percekcokan, dan pergeseran antara Rom dan Parsi.

Tiada lagi fahaman ideologi bertapak dan bertunas di lembah tandus itu melainkan ajaran Tauhid, warisan ajaran Ibrahim a.s itulah yang diamalkan mereka, melainkan sedikit dari kalangan mereka yang telah disesatkan.

Ketika ajaran Tauhid masih terpelihara di balik tulang sulbi nenek moyang Muhammad s.a.w sehinggalah kepada Ismail a.s, umat Yahudi telah tersesat oleh pelbagai ujian yang terperangkap oleh pelbagai tamadun, kaum dan bangsa luar yang liar falsafahnya.

Pertembungan dengan tamadun Mesir misalnya, pertembungan dengan amalan Fir'aun contohnya telah menyebabkan mereka kembali berputar daripada ajaran Tauhid Ibrahim a.s. Demikian kuatnya keinginan kepada sembahan kaum Fir'aun ini, sehinggakan kisah ini kerap disebut-sebutkan di dalam al-Quran.

Dan Kami bawakan Bani Israil ke sebarang Laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihatkan yang demikian) mereka (Bani Israil) berkata: "Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan." Nabi Musa menjawab: "Sesungguhnya kamu ini adalah kaum yang jahil.

"Sesungguhnya mereka (penyembah-penyembah berhala itu), akan dihancurkan apa yang mereka berada di dalamnya (dari perbuatan syirik), dan tetaplah salahnya apa yang mereka kerjakan itu".

Nabi Musa berkata lagi: "Patutkah aku mencari tuhan untuk kamu selain daripada Allah, padahal Ia telah melebihkan kamu atas sekalian manusia (yang sezaman dengan kamu, dengan berbagai nikmat yang telah dikurniakanNya kepada kamu)?" [al-A'raaf: 138, 138, 140]

Beza bangsa Arab dan bangsa Yahudi
Maka, bangsa Arab masih terkepung di tanah tandus yang tujuannya untuk memelihara ajaran Tauhid itu agar tidak tercemar oleh perlagaan ideologi bawaan Rom dan Parsi.

Sedangkan bangsa Yahudi telah tercemar oleh segala bangsa-bangsa yang pernah mereka temui. Lihat kedegilan Yahudi. Walaupun Yahudi terbebas dari lembah sengsara jajahan Fir'aun, namun setelah menyeberangi Laut Merah, mereka masih tetap setia menyembah apa-apa yang disembah oleh penjajah mereka; Fir'aun.

Tapi, di tanah tandus di mana Nabi Ismail diletakkan, hanya nenek moyang Muhammad s.a.w yang masih setia berkiblatkan kepada ajaran Nabi Ibrahim dan selebihnya pemuka Quraisy yang tersasar menyembah selain daripada Allah s.w.t.

Namun, kekuasaan ajaran Tauhid mengatasi ajaran sembahan berhala kerana pemegang kunci Kaabah masih berada di dalam genggaman warisan jurai keturunan nenek moyang Nabi Muhammad s.a.w.

Ekoran itulah program tarbiyah sunnatullah ke atas bangsa Yahudi bermula lagi dengan cara Tuhan mengepung mereka di Padang Teh selama 40 tahun supaya generasi sembah berhala itu digantikan dengan generasi Tauhid.

Ibnu Khaldun lewat Mukadimahnya menyebutkan bahawa adapun tujuan bangsa Yahudi itu diletakkan dalam keadaan sebegitu (40 tahun di Padang Teh) adalah supaya tidak akan terjadinya percampuran ajaran Tauhid dengan sembahan berhala oleh segala bangsa.

Akhirnya, program terawal ke atas Nabi Ibrahim ketika kecilnya, iaitu pengasingan tubuh dan jiwa di sebuah gua, diterapkan ke atas Ismail dan ibunya Siti Hajar di padang pasir di antara Safa dan Marwah, juga diterapkan ke atas bangsa Yahudi di Padang Teh.

Pengasingan demi pengasingan ini bertujuan melahirkan kekuatan-kekuatan, tenaga baru untuk memelihara akar tunjang Tauhid yang berkekalan sehingga ke negara akhirat.

Tiba masanya IPT 'diasingkan' daripada campurtangan politik!
Maka, sudah tiba masanya (malah sejak dahulu) hal-ehwal pemerintahan dan perlantikan para pegawai universiti dikembalikan kepada universiti. Perebutan kuasa politik parti ini akan lebih memburukkan keadaan dan melahirkan kelemahan jiwa, menzahir sifat takut dalam menyatakan kebenaran. Kebijaksaan jadi tersimpan meredap dalam fikiran.

Yang rugi akhirnya adalah umat, rakyat dan masyarakat sekeliling universiti sendiri.

Saudara-saudari yang dikasihi.

Maka, sekali lagi, coretan ini berwasiat kepada anda terhadap tiga nilai-nilai universal ini; Kebijaksanaan, Kejujuran dan Keberanian. Ketiga-tiga kunci ini akan membolehkan anda semua mendapatkan kunci teragung iaitu menjelmakan Kebenaran.

Hanya bermodalkan Kebenaran, maka cita-cita teragung kita untuk mencetak masyarakat yang adil akan tercapai.

Ini kerana, Keadilan akan tercapai apabilan Kebenaran mula terzahir!

Intipati sektor Niaga 2010

Selasa, 27 Oktober 2009

Intipati sektor niaga bajet 2010

Okt 23, 09 4:45pm


Berikut ialah intipati Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat hari ini.

* Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 2-3 peratus pada 2010

* Perlombongan dijangka meningkat 1.1 peratus, pembuatan 1.7 peratus, pertanian 2.5 peratus, pembinaan 3.2 peratus dan perkhidmatan 3.6 peratus.

* penggunaan swasta berkembang 2.9 peratus manakala pelaburan swasta 3.4 peratus

* pendapatan per kapita meningkat 2.5 peratus kepada RM24,661


* TNB akan membelanjakan RM5 bilion untuk melaksanakan penjanaan, penghantaran dan pengagihan elektrik pada 2010.

* Usaha sama awam-swasta akan meliputi kompleks imigresen, kastam dan kuarantin bersepadu di Bukit Kayu Hitam, pembinaan enam kampus UiTM dan pusat MATRADE

* 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan mewujudkan dana tanggungjawab sosial korporat berjumlah RM100 juta sebagai permulaan untuk membiayai aktiviti masyarakat.

* Kerajaan akan memperuntukkan RM899 juta untuk meningkatkan industri pelancongan

* Kerajaan akan meningkatkan insentif cukai kepada para penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menawarkan perkhidmatan kepada pelancong kesihatan rakyat asing, dengan pengecualian cukai pendapatan ditingkatkan daripada 50 peratus nilai peningkatan pendapatan eksport kepada 100 peratus.


* Pembayar cukai pendapatan individu diberikan pengecualikan cukai ke atas langganan jalur lebar sehingga RM500 setahun mulai 2010 hingga 2012

* Penjawat awam dibenar membuat pinjaman untuk membeli komputer setiap tiga tahun sehingga maksimum RM5,000 berbanding sekali setiap lima tahun

* Merangka Akta Halal dengan usaha sama Majlis Agama Islam negeri-negeri

* Memperbadankan Perbadanan Pembangunan Industri Halal (HDC) sebagai agensi di bawah MITI

* Menyegerakan Pensijilan Halal oleh JAKIM menerusi usaha sama dengan institusi antarabanga bagi memperoleh pensijilan standard seperti HACCP dan GMP.

* Menyediakan RM24 juta untuk membangunkan produk sistem antipenyeludupan produk Halal di tiga pintu masuk utama dan tiga pelabuhan utama.

* Memperuntukkan RM137 juta untuk meningkatkan dan memperbaiki infrastruktur saliran dan perparitan di jelapang padu membabitkan 180,000 petani

* Memperuntukkan RM70 juta untuk melaksanakan Projek Empangan Paya Peda di Terengganu bagi meningkatkan keupayaan bekalan air untuk Skim Pengairan Padi di Besut

* Memperuntukkan RM82 juta untuk memodenkan industri akuakultur dan pelaksaan skim latihan keusahawanan bagi ternakan akuakultur, dengan tumpuan terhadap pengeluaran benih ikan dan ikan hiasan.


* Peruntukan RM149 juta untuk untuk bangunkan industri perladangan makanan seperti makanan, sayur-sayuran, perladangan organik, herba, rumpai laut dan sarang burung layang-layang

* Peruntukan RM58 juta untuk bangunkan infrastruktur asas ladang ternakan dan mewujudkan rangkaian bekalan untuk pengeluaran daging dan kambing.

* Konsortium FELDA, FELCRA dan RISDA akan diwujudkan menjelang akhir tahun 2009, dengan modal berbayar RM300 juta dengan setiap agensi menyumbang RM100 juta

* Kerajaan menyediakan subsidi, insentif dan bantuan berjumlah RM2 bilion untuk petani dan nelayan untuk menjaga kepentingan mereka

* Peruntukan RM9 bilion untuk biayai projek infrastruktur, dengan RM4.7 bilion untuk projek jalan dan jambatan, RM2.6 bilion untuk bekalan air dan perkhidmatan pembentungan, RM899 juta untuk kemudahan rel, RM820 juta untuk perkhidmatan pelabuhan dan laut serta RM276 juta untuk projek lapangan terbang

* Menyepadukan 79 dana PKS kepada 33 untuk memudahkan akses kepada pembiayaan PKS. Akan diselaraskan oleh SME Corp.

* Memperuntuk RM350 juta kepada SME Corp, dengan RM200 juta untuk pinjaman mudah PKS, RM100 juta peningkatan keupayaan dan bankinya untuk penjenaman dan promosi

* Institusi kewangan meluluskan pembiayaan makro pada purata enam hari dan penyerahan dalam tempoh empat hari

* Memperuntuk RM538 juta untuk pelaksanaan pelbagai program PKS dengan RM281 juta kepada perbadanan kemajuan ekonomi negeri, RM200 juta untuk TEKUN dan RM57 juta untuk membeli premis perniagaan, infrastruktur dan sebagainya.


* Memperuntukkan RM20 juta untuk mempergiatkan aktiviti kesedaran hijau dan amalan mesra alam sekitar

* Menjadikan Putrajaya dan Cyberjaya sebagai Bandar Teknologi Hijau yang akan menjadi pelopor kepada pembangunan bandar lain

* Mewujudkan dana berjumlah RM1.5 bilion bagi membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat pengguna teknologi hijau membuat pinjaman mudah untuk membiayai aktiviti mereka, dengan RM50 juta untuk syarikat pengeluar dan RM10 juta untuk syarikat pengguna. Permohonan pinjaman boleh dibuat melalui Pusat Teknologi Hijau Negara. Skim ini dijangka memberi faedah kepada lebih 140 syarikat dan dimulakan pada 1 Jan 2010

*Pemilik bangunan yang memperoleh sijil Indeks Bangunan Hijau (GBI) mulai 24 Okt, 2009 hingga 31 Dis, 2014 diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan perbelanjaan modal tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan

*Pengecualian duti setem kepada pembeli yang membeli bangunan dengan sijil GBI mulai 24 Okt, 2009 hingga 31 Disember 2014.

* Mempekenal insurans asas dan skim takaful untuk perlindungan insurans motor pada pertengahan 2010

* Memperluas liputan takaful dan insurans mikro kepada peniaga kecil, dengan manfaat perlindungan daripada RM10,000 kepada RM20,000, pada premium serendah RM20 sebulan.

* Pasaran saham akan diliberalisasikan lagi untuk meningkatkan kecekapan.

* Meliberalisasi aturan perkongsian komisyen antara broker saham dan
remisier dengan membenarkan perkongsian pembrokeran fleksibel pada kadar minimum 40 peratus dan meliberalisasikan sepenuhnya perkongsian komisten berkuat kuasa 1 Januari, 2011

* Membenarkan penyertaan 100 peratus ekuiti asing dalam syarikat perancangan kewangan dan kewangan korporat

* Semua syarikat senaraian awam akan menawarkan e-Dividen dan syarikat pemerokeran saham menyediakan opsyen e-pembayaran

* Insentif cukai sedia ada untuk perkhidmatan kewangan, terutama kewangan Islam, dilanjutkan hingga 2015

* Pengecualian duti setem 20 peratus ke atas instrumen pembangunan kewangan Islam

* Pengecualian cukai ke aras keuntungan bank dariapda operasi luar negara.

* Potongan berganda perbelanjaan yang ditanggung untuk mempromosikan Malaysia sebagai pusat kewangan antarabangsa

* Potongan ke atas perbelanjaan yang ditanggung bagi penubuhan syarikat-syarikat pembrokeran Islam

* Potongan ke atas perbelanjaan yang ditanggung bagi penerbitan sekuriti

* Kerajaan akan menggalakkan semua institusi perbankan dan kewangan yang mematuhi syariah seperti Bank Muamalat dan Bank Islam untuk menawarkan skim Ar-Rahnu

* Kerajaan akan memastikan koridor pembangunan serantau dimajukan mengikut jadual. Setakat ini 126 daripada 195 projek perancangan di pelbagai peringkat pelaksanaan. Pelaburan yang dirancang berjumlah RM221 bilion sudah mengatasi sasaran perbelanjaan Rancangan Malaysia Kesembilan sebanyak RM145 bilion

* Kerajaan akan memperuntukkan RM3.5 bilion untuk kemudahan asas dan infrastruktur serta program latihan dan projek sosio ekonomi untuk menyokong pelaksaan projek sektor swasta

* Kerajaan kini dalam peringkat awal menyiapkan kajian pelaksanaan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST). Kadar itu akan dikurangan berbanding cukai perkhidmatan dan jualan semasa.

* Cukai pendapatan bagi 2010 berdasarkan pendapatan yang diperoleh mulai 2009 akan dibenar dibayar secara ansuran dalam lima tahun.

* Cukai lima peratus akan dikenakan ke atas keuntungan daripada pelupusan hartanah mulai 1 Jan, 2010.

* Cukai perkhidmatan RM50 dikenakan ke atas setiap kad kredit utama dan kad caj serta RM25 setahun bagi setiap kad tambahan mulai 1 Jan, 2010.

* RM100,000 dikenakan untuk setiap AP untuk pemegang kad AP terbuka berkuatkuasa 1 Jan, 2010. Sebahagian daripada kutipan akan disalurkan kepada dana pembangunan Bumiputera dalam sektor automatif.

* Akan memperkenal skim insurans asas dan takaful untuk perlindungan insurans motor pada pertengahan 2010

* Akan memperluas liputan insurans mikro dan takaful untuk peniagaan kecil mendapat manfaat daripada perlindungan RM10,000 hingga RM20,000 dengan premium serendah RM20 sebulan

* Pasaran saham diliberalisasikan untuk kecekapan

* Membenarkan penyertaan ekuiti asing 100 peratus dalam kewangan korporat dan perancangan kewangan.

* Semua syarikat senarai awam akan menawarkan e-Dividen dan syarikat broker saham menyediakan opsyen e-pembayaran

* Insentif cukai semasa untuk majukan perkhidmatan kewangan, terutama kewangan Islam, dilanjutkan hingga 2015.

* Pengecualian duti setem 20 peratus ke atas instrumen kewangan Islam

* Pengecualian cukai ke atas keuntungan perbankan yang diperoleh menerusi operasi luar negara.

* Mulai 1 Jan 2010, kerajaan bersetuju membenarkan agensi kerajaan mengekalkan 50 peratus sewa yang diterima manakala baki 50 peratus lagi dimasukkan dalam perolehan kerajaan

* Kerajaan akan laksana sistem pengurusan subsidi bahan api pada awal 2010.

* Kerajaan mencadangkan kadar cukai pendapatan maksimum dikurangkan kepada 26 peratus daripada 27 peratus berkuat kuasa mulai tahun penilaian 2010

* Kadar cukai maksimum koperasi akan dikurangkan kepada 26 peratus manakala kadar cukai tetap bagi individu bukan pemastautin akan dikurangkan kepada 26 peratus

* Pengecualaian cukan persendirian akan dinaikkan kepada RM9,000 daripada RM8,000 berkuat kuasa mulai tahun penilaian 2010

* Kerajaan mencadangkan cukai pendapatan bagi pendapatan pekerja Malaysia dan pekerja asing yang menetap dan bekerja di Iskandar Malaysia sebanyak 15 peratus berbanding maksium 26 peratus untuk seluruh negara

* RM14.8 bilion diperuntuk untuk mengurus, membangun dan menaik taraf hospital dan klinik

* Kerajaan akan terbitkan Sukuk 1Malaysia bernilai RM3 bilion.

* Kerajaan akan mewujudkan Skim Persaraan 1Malaysia yang diurus oleh KWSP. BERNAMA