BANTAH kesal HEP paksa API batal kelulusan forum

Khamis, 31 Disember 2009


KUALA LUMPUR, 29 Dis: Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH), selaku penganjur forum terbuka 'E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus' dikejutkan dengan keputusan pentadbiran Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) siang tadi yang menarik balik kebenaran menggunakan Dewan Kuliah Utama sebagai tempat forum.

Jurucakap BANTAH, Mohd Ridzuan Bin Othman dalam satu kenyataan mendakwa ianya akibat campurtangan dan arahan bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) universiti itu.

"Pihak kami yang sudah 'gembira' dengan keputusan Pentadbiran API semalam untuk meluluskan penggunaan Dewan Kuliah Utama sebagai tempat berlangsungnya Forum Terbuka ini terkejut dengan tindakan penarikan balik kelulusan tersebut pada pagi ini ekoran daripada campur tangan pihak HEP UM.

"Mereka (HEP) mengarahkan pihak APIUM agar membatalkan kelulusan tempat yang diberikan beralaskan bahawa Forum ini tidak mendapat kelulusan HEP", katanya.

Forum tersebut asalnya dijadualkan berlangsung pada 1 Januari 2010 di Dewan Kuliah Utama, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM).

Pensyarah terkenal Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Abdul Aziz Bari, wakil rakyat PKR Chang Lih Kang dan exco Persatuan Mahasiswa Islam UM Mohd Shafie Hashim dijadual sebagai panel di forum itu.

Pihak BANTAH katanya telah berbincang hampir sejam petang tadi dengan pentadbiran APIUM berkenaan dengan penarikan balik kelulusan tempat yang sudah diberikan.

Akibat daripada tekanan oleh HEP itu ujarnya, perbincangan tersebut hanya menemui jalan buntu kerana pihak pentadbiran APIUM tetap berkeras untuk tidak memberikan kelulusan tempat jika tiada surat kebenaran yang dikeluarkan oleh pihak HEP.

"HEP mengangu rumah tangga kami di APIUM. Tidak ada dalam mana-mana fakulti lain yang mengadakan program di bawah kelolaan Wakil Fakulti diganggu seperti program kami ini.

"Saya merasakan terkilan bilamana Forum Intelektual sebegini disekat dan dihalang sedangkan bukan demonstarsi yang kami anjurkan tetapi sekadar Forum wacana yang mengupas persoalan di peringkat mahasiswa," katanya lagi.

Namun menurutnya, segala persiapan sudah dibuat dan mereka tetap akan meneruskan forum tersebut biarpun bukan di Dewan Kuliah Utama APIUM tersebut.

"Jika kedegilan pihak Pentadbiran APIUM yang mengikut telunjuk HEP, bagaimana perkembangan intelektual dan idealisma mahasiswa akan bercambah?? Mahasiswa dihalang dengan sedaya mungkin untuk mengadakan program dan jika hal ini beterusan kemana hala tuju mahasiswa?" soalnya.

Sebelum ini, mereka mendakwa menerima pelbagai ugutan supaya membatalkan forum tersebut.

Ianya termasuklah ugutan melalui surat layang dan sms yang diterima beberapa penggerak BANTAH yang mendakwa 'sesuatu' akan berlaku jika ianya tidak dibatalkan.


Komentar : Promahasiswa UMT

- PromUMT juga menyatakan kekesalan kepada sikap tidak rasional pentadbiran APIUM yang telah mengambil tindakan ugutan untuk membatalkan Forum ini. Hal ini menunjukkan sikap bacul dan tidak 'gentleman' yang seakan-akan takut kepada kebangkitan suara mahasiswa yang saban hari mendapat tempat di hati masyarakat kampus. PromUMT amat berharap perkara yang berlaku ini tidak akan berulang di kampus UMT.

-SUARA MAHASISWA SUARA KERAMAT -

0 ulasan:

Catat Ulasan