| |
KUALA LUMPUR, 31 Dis: Gabungan Mahasiswa Bantah E-Voting (BANTAH) akan meneruskan Forum Terbuka, 'E-Voting dan Masa Depan Demokrasi Kampus' malam esok di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) biarpun diarah batal oleh pentadbiran Hal Ehwal Pelajar dan APIUM dua hari lalu. Dalam satu kenyataan mereka memberitahu, sudah menerima penyertaan dari beberapa pertubuhan mahasiswa yang komited mahu BANTAH meneruskan forum tersebut. "Walaupun pihak HEP mengarahkan forum ini dibatalkan tetapi BANTAH akan terus melaksanakan forum ini seperti yang dijadualkan," kata jurucakap mereka Mohd Ridzuan Bin Othman. Selain itu, Solidariti Mahasiswa Malaysia, (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS) dan Kumpulan Aktivis Mahasiswa Indipenden (KAMI) juga telah menyatakan sokongan dengan pendirian BANTAH. Maruah aktivis mahasiswa mereka tidak boleh dijual dengan harga yang murah, hanya sekadar halangan dari pihak tertentu bukanlah alasan untuk mereka hentikan gerakan dan tuntutan mereka. Mereka turut menyatakan tiga pendirian berikut: - Memberi sokongan yang tidak berbelah bagi kepada penganjuran program seperti ini agar memberi peluang kepada mahasiswa untuk menilai sistem yang akan dijalankan untuk mereka. - Mengecam tindakan pihak pentadbiran Universiti Malaya yang menghalang penganjuran program ini atas sebab bertentangan dengan prinsip kebebasan berakademik dan berhimpun. Malah tindakan ini tidak menunjukkan semangat dan sikap yang sepatutnya bagi sesebuah pusat ilmu. - Mengecam tindakan pihak yang menghantar ugutan kepada pihak penganjur agar program ini dibatalkan. Pensyarah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Abdul Aziz Bari, wakil rakyat PKR Chang Lih Kang dan exco Persatuan Mahasiswa Islam UM Mohd Shafie Hashim dijadual sebagai panel di forum itu esok. "Dengan komitmen dan seruan yang padu daripada peringkat pimpinan mahasiswa, BANTAH menyeru dan menggesa seluruh mahasiswa untuk hadir beramai-ramai ke Forum Terbuka ini dengan kita menyuburkan semula sistem demokrasi kampus ini.," katanya. -KOMENTAR PROMAHASISWA UMT- Kami menyatakan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada BANTAH yang ingin meneruskan Forum Terbuka dan ini menunjukkan nilai integriti mahasiswa yang mesti diperjuangkan yang perlu dihormati oleh semua pihak, bukan sekadar mendengar arahan dari pihak atasan untuk menyekat sebarang aktiviti mahasiswa yang dikatakan tidak sealiran dengan pihak pentadbiran. Kami juga menyeru agar pihak pentadbiran membenarkan kembali pihak Bantah mengadakan Forum Terbuka ini. -SUARA MAHASISWA SUARA KERAMAT- |
0 ulasan:
Catat Ulasan