Kepimpinan mahasiswa tertolak kerana borang? |
HFansuri |
AGAK melucukan apabila mengukur suhu demokrasi di negara ini. Kalau ada orang berkata, bahawa kepimpinan itu diukur melalui akhlak, ilmu akademik, dan pengetahuan menguruskan khazanah negara, maka jawapan ini tenggelam timbul dalam mimpi dan angan-angan sahaja pada hari ini. Kepimpinan melalui teladan hanya slogan klasik, semboyan dan laungan plastik. Slogan itu telah mengalami evolusi demi evolusi daripada zaman bahari sehinggalah ke era hadhari. Evolusi slogan istilah itu berkembang menjadi Islam Hadhari, Cemerlang Gemilang dan Terbilang sehingga muncul istilah glokal, 1Malaysia 1Mongolia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan. Hampir tiada pimpinan yang bangun lewat sistem demokrasi hari ini. Hari ini dengan sistem yang ada, tidaklah melahirkan pemimpin. Mereka hanyalah menteri, ketua menteri, timbalan perdana menteri dan perdana menteri. Mereka cuma menteri dan YB-YB. Mereka bukanlah pemimpin sejati. Sebab itu, kalau ada orang yang mahukan kepimpinan berakhlak dan berpengetahuan untuk memerintah mereka, maka semua itu khayalan belaka. Tetapi, peluang masih terbuka jika mereka mahu mahu, setia dan bersedia bekerja keras. Kepimpinan Talut menongkah arus plutokrasi Lihat jawapan yang diutarakan seorang nabi dalam kalangan Bani Israel ketika kalangan pemimpin mereka yang kaya-raya ingin memasuki wilayah Palestin, tapi takut berdepan dengan 'seekor gergasi' bernama Jalut. Allah merakam debat antara mereka ini di dalam Surah Al-Baqarah. Dalam ayat ke-247, para pimpinan Bani Israel menolak kepimpinan Talut yang miskin. Kata mereka, "Bagaimana dia (Talut) mendapat kuasa memrintah kami sedangkan kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan dia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka mentakrifkan perkataan plutokrasi sebagai sejenis pemerintahan yang dikawal selia oleh orang-orang kaya, pemodal dan kapitalis. Ini bermaksud, hanya orang kaya yang layak memerintah. Bagaimana mereka boleh jadi kaya, hal itu tidak perlu kita runsing. Mereka boleh jadi kaya melalui kegiatan jualbeli senjata seperti kapal selam dengan sedikit komisen. Itu contoh saja. Ada yang jadi kaya melalui merasuah perwakilan supaya boleh menjadi menteri. Apabila jadi menteri, mereka boleh luluskan lebih banyak projek dan menikmati konsesi, dan komisen pun boleh menjadi dua kali lipat. Syahadan, bentuk pemerintahan hari ini adalah plutokrasi kerana kita dipimpin oleh orang-orang kaya. Kepimpinan Talut akhirnya mengembalikan zaman keagungan Bani Israel apabila Daud a.s menjadi raja selepas Talut. Keagungan pemerintahan Bani Israel semakin hebat selepas anakanda Daud, iaitu Sulaiman a.s menjadi raja. Namun, berlaku sedikit pergelutan antara ahli-ahli sihir dalam istana Raja Sulaiman hingga mengundang sedikit kesusahan dalam pemerintahan nabi itu. Kita pun tertanya-tanya juga, dalam keadaan zaujah Ibnu Abdul Razak yang didakwa terpalit dengan isu ilmu hitam, selamatkah kepimpinan bahtera negara kita ini? Ketepikan soal Daud, Talut, Sulaiman, ilmu sihir dan ilmu hitam. Itu hanya rencah-rencah bualan ringan. Kita buka cerita Talut disebabkan kita mahu mengaitkan hal kepimpinan. Talut tidak akan bangkit kalau beliau tidak disokong seorang nabi yang mengangkatnya melalui wahyu Tuhan. Kebetulan, ada keperluan melantik seorang pemimpin yang berani berdepan dengan Jalut, kerana semua saudagar Bani Israel yang kaya-raya itu enggan mati kerana cintakan harta. Maka, ruang kosong itu diisikan dengan Talut. Adakah demokrasi perlukan borang? Selepas Talut, kita melihat banyak idea politik berkembang. Kita tidak mahu bicarakan semuanya kerana ruangan ini bukan untuk berkhutbah mengenai ilmu sains politik. Justeru, marilah kita cepatkan apa-apa yang patut kita percepatkan. Alkisahnya, suatu ketika dahulu, ada seorang pegawai tinggi HEP di sebuah universiti di Pulau Pinang yang memutuskan suatu keputusan untuk memansuhkan pilihan raya antara desasiswa. Desasiswa adalah asrama, seperti kolej kediaman di UM atau kamsis di UKM. Hal ini ditentang secara diam-diam oleh warga kampus kerana takutkan pegawai tinggi HEP tersebut. Satu-satunya wadah, suara yang menentang dasar tersebut adalah Berita Kampus, sebuah akhbar yang dikendalikan oleh kira-kira 44 mahasiswa kewartawanan di Pusat Pengajian Komunikasi. Mereka melawan melalui penulisan mereka. Mereka melawan pada zaman di mana blogspot belum masyhur dan tersohor seperti sekarang. Segelintir dalam kalangan mereka bergelut sakan dalam keadaan Facebook belum wujud, YouTube belum berkembang dengan pesatnya seperti sekarang. JIka semua ini wujud, entah apalah yang akan terjadi kepada pegawai tertinggi HEP itu sekarang. Bagaimanapun, khabarnya, pegawai HEP itu sudah dikirim ke Unimap (Universiti Malaysia Perlis) kerana beliau sukar hidup dikelilingi warga IPT yang tidak senang dengan kehadirannya di kampus lama. Syahadan, apabila kita menyentuh soal Unimap, inilah berita yang kita terima dari universiti di utara tanah air itu. Kononnya, Pro Aspirasi (penyokong Umno, BN) telah menewaskan kumpulan Pro Mahasiswa di universiti itu selepas tamat sesi penamaan calon. Mereka bukan menang dalam pertarungan. Tapi, menang selepas musuhnya tidak dibenarkan bertanding. Ketika kita ghairah dengan Bagan Pinang, tragedi gempa di Padang, tiba-tiba terdengar laporan mengenai kekecohan dan kecurangan dalam sistem pilihan raya kampus kita. Jika khabar ini benar, maka pilihan raya kampus adalah lebih tidak demokratik dan tidak adil berbanding pilihan raya di Bagan Pinang dan lain-lain pilihan raya kecil sebelum ini. Kegagalan untuk bertanding itu berlaku oleh kerana kegagalan mereka mendapatkan pengesahan pihak berkuasa dalam kampus. Dan, tentunya pengesahan untuk bertanding pilihan raya itu memerlukan sejenis borang untuk ditandatangani. Dan, kita perlu bertanya - adakah wajar kepimpinan itu tertolak, gara-gara gagal mendapatkan tandatangan di dalam borang tersebut? Salah isi borang Benar. Hakikat ini memang cukup pedih diterima. Dalam pilihan raya kecil dan pilihan raya umum, kepimpinan kini tertolak hanya kerana salah isi borang. Semenjak zaman Talut, khilafah yang memakai bai'ah, sistem beraja yang memerlukan raja melantik putera mahkota, maka borang-borang kertas yang terhasil daripada gentian kayu-kayu pokok ini tidak pernah menjadi sebab kepada tertolaknya kepimpinan seseorang. Sekarang, masa berubah. Dalam negara kita yang mana hampir kebanyakan universitinya masih berlumba-lumba mahu mendapat pengiktirafan dunia, mengejar gelaran universiti penyelidikan, mahu tersenarai dalam 'ranking' 200 buah IPT terbaik di dunia, ternyata masih ada pemimpin universiti yang curang dalam mewarnai demokrasi. Kalau dalam pilihan raya umum dan pilihan raya kecil, calon-calonnya boleh tertolak kepimpinan kerana salah isi borang, maka adik-adik kita di universiti hari ini telah ditolak kepimpinan, hanya kerana pemimpin IPT 'enggan' menandatangani, memperakui hak mereka untuk bertanding. Kepada yang terlupa, sila ingat semula kes di mana UIAM telah meminda syarat-syarat bertanding agar calon-calon pimpinan mahasiswa itu boleh bersyarah dalam bahasa Inggeris. Juga, jangan lupa bagaimana notis pilihan raya itu dikeluarkan hari ini dan esoknya notis pilihan raya itu boleh dicabut semula. Maklumat dalam notis mengenai pilihan raya itu boleh ditampal pagi ini dan petang ini dihilangkan semula. Semua maklumat dipendamkan dan ia cuma berlegar sekitar calon-calon mahasiswa yang memihak kepada parti pemerintah sahaja. Hilang hormat Saya secara peribadi mula hilang hormat apabila pemimpin universiti mula bertindak begini ketika zaman berkuliah. Ketika saya mendapat tahu bahawa pensyarah tersebut berpindan ke Unimap, rasanya tidak perlulah dipanjangkan lagi sengketa lama itu. Cukuplah dengan apa yang telah kami usahakan ketika sama-sama memimpin Berita Kampus dahulu. Selepas zaman berkuliah, rasanya elok menumpukan hal-hal lain pula. Tapi, nampaknya kita tidak boleh berdiam diri juga. Tidak perlu diperturunkan secara jelas di sini apakah yang telah berlaku di Unimap baru-baru ini. Sidang pembaca boleh membaca dan mencarinya sendiri. Apa yang ingin saya sampaikan secara peribadi kepada para pimpinan universiti yang bijaksana di sana ialah, tak bolehkah dengan akal bijaksana, kita menjaga maruah dan kehormatan kita sebagai mahaguru universiti? Bukan suatu yang rahsia lagi, bahawa ada pensyarah yang pro kepada parti pemerintah. Itu tidak salah. Ada pensyarah yang pro kepada Pakatan Rakyat. Ini juga tidak salah. Semua parti ini dihalalkan undang-undang dan perlembagaan negara. Tapi, tidak bolehkah kita simpan rahsia politik dalam perut masing-masing? Saya percaya, mahasiswa kita masih hormatkan NC, TNC yang memihak atau terpaksa memihak kepada parti pemerintah, selagi mana politik mengampu untuk menyelamatkan kedudukan pemimpin universiti ini tidak sampai mendera mahasiswa sendiri. Mengampulah sebanyak mana pun, siapa yang peduli? Tetapi, idea menjahanamkan demorkrasi kampus, usul mengkasi pemikiran, memangkas idea pembangunan akliah mahasiswa ini bermuara dari mana? Bodeklah, tiada salahnya. Tetapi idea untuk mencetak borang ini datangnya dari siapa? Timbul tenggelam idea gelap hingga NC perlu menandatangani borang ini, gelombang tsunami idea jahat ini, ombak badainya datang dari monsun taufan mana? Lalu, kita pun mahu bertanya sebagaimana almarhum W. S. Rendra pernah bertanya lewat Sajak Pertemuan Mahasiswa ... "Sekarang matahari, semakin tinggi. (Sajak Pertemuan Mahasiswa, 1977) Adakah kita mahu kampus hari ini mengasuh mahasiswanya menjadi cukong kapitalis, politikus pengamal amalan plutokrasi yang menindas rakyat marhaen, atau mereka berjuang memutuskan ikatan tali, belenggu ketakutan yang berselirat di dada rakyat? Kita menuntut jawapan! 5:31a.m,9 Oktober (Kepada pemimpin universiti yang mahu menonton Rendra mendeklamasi Sajak Pertemuan Mahasiswa tersebut, boleh mencapainya di YouTube. Maklumbalas boleh dimajukan kepada ibnuamir@yahoo.com |
0 ulasan:
Catat Ulasan