Menorobos Isu Mahasiswa Nasional ( E-voting)

Rabu, 7 Oktober 2009

E-undi: Pelajar tempelak menteri


kemaskini 7.07pm Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) hari ini menempelak Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin kerana menyifatkan mahasiswa tidak mengikuti zaman teknologi ICT apabila menolak pengundian berkomputer dalam pilihan raya kampus.

Pengerusinya Shazni Munir Mohd Ithnin berkata sedangkan sewaktu pemilihan Umno pada Mac lalu, perwakilan parti itu sendiri menolak penggunaan kaedah berkomputer bagi memilih pucuk pimpinan parti.

Kira-kira 90 % daripada 200 wakil calon dalam pemilihan Umno
menolak cadangan pengiraan undi menggunakan komputer dan mahu ia diteruskan secara manual seperti sebelumnya.

"Bagi pelajar, kami memilih integriti dan ketelusan dalam memilih pemimpin.

"Kami nak tanya, adakah menteri (Khaled) mementingkan integriti, ketelusan dan kemodenan dalam memilih kepimpinan?" soal Shazni Munir.

Beliau, yang juga presiden Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM), diminta mengulas kenyataan Khaled bahawa penggunaan e-undi selaras dengan kemajuan teknologi dan turut diamalkan di negara lain.


Semalam Malaysiakini melaporkan kumpulan pelajar berkenaan ke kawasan pilihan raya itu sejak hari penamaan calon pada Sabtu lalu bagi membantah e-undi di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada sesi pemilihan terbaru Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Kaedah mengundi secara elektronik mula diperkenalkan di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2003 dan kemudian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) - juga dalam suasana penuh bantahan.

Selain
menerima bantahan bertubi-tubi oleh beberapa kumpulan pelajar sejak ia diperkenalkan, kumpulan pelajar UPM sendiri pernah memulaukan pilihan raya kampus mereka selama dua tahun berturut-turut, 2005 dan 2006.

Mengulas kenyataan Khaled yang menyifatkan SMM mencari "politik murahan" dengan berkempen membantah e-undi di pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, Shazni berkata:

"Tindakan memaksa menggunakan e-undi tanpa mendapat kebenaran daripada pelajar, juga merupakan politik murahan, untuk mengekalkan status quo kerajaan (dengan memenangkan kumpulan pro-Aspirasi yang akur pada perintah Hepa)."


Ekoran itu, tambahnya, SMM mendesak Kementerian Pengajian Tinggi menarik balik keputusan yang didakwa akan dilaksanakan di semua universiti dalam pilihan raya kampus pada pemilihan sesi ini.

Pelajar tahun akhir Akademi Pengajian Islam (API) UM itu turut mendesak kerajaan membenarkan pemantau di kampus untuk memastikan ketelusan pilihan raya.

SMM juga mendesak pemimpin semua parti politik menyatakan pendirian mereka berhubung isu e-undi yang dipertikaikan itu.

Pilihan raya kampus dijadualkan berlangsung bermula pertengahan bulan ini sehingga awal tahun hadapan, bergantung kepada keputusan di peringkat universiti masing-masing.

Malaysiakini difahamkan penamaan calon bagi pilihan raya kampus UUM akan berlangsung Khamis ini, manakala pengundian dijadualkan pada 12 Oktober.

Sementara di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pula, penamaan calon akan bermula esok dan pengundiannya 14 Oktober ini.

Bantah e-undi 'politik murahan' siswa


kemaskini 1.51pm "Politik murahan", demikian reaksi menteri pengajian tinggi terhadap tindakan sekumpulan pelajar berkempen di Bagan Pinang bagi membantah e-undi di tiga lagi universiti dalam pilihan raya kampus.

"Dengan hanya tidak bersetuju dengan satu sistem, dengan mengandaikan bahawa berlaku penipuan dan sebagainya, adalah politik murahan," kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pagi ini.

"Itu publisiti murahan. Apatah lagi hendak dibuat di Bagan Pinang? Apa pendirian pelajar ini dan apa maksud sebenar yang hendak mereka lakukan?"


Beliau diminta mengulas tindakan Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) yang turut serta dalam kerancakan suasana pilihan raya kecil itu bagi membantah sistem pengundian berkomputer, atau dikenali juga e-undi, tidak lama lagi.

Semalam Malaysiakini melaporkan kumpulan pelajar berkenaan ke kawasan pilihan raya itu sejak hari penamaan calon pada Sabtu lalu bagi membantah e-undi di Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) pada sesi pemilihan terbaru Majlis Perwakilan Pelajar (MPP).

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan pembukaan Dialog Industri Kebangsaan 2009 di Putrajaya, Mohamed Khaled turut menyamakan tindakan SMM itu dengan sikap parti pembangkang.

"Sama saja macam pembangkang. (Mereka kata) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak adil. Bila dia menang, dapat kerajaan, tidak ada pula dia bising," katanya.

Tambahnya, pelajar yang dikenal pasti terbabit dalam pilihan raya kecil itu boleh dikenakan tindakan, seperti termaktub dalam Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU).

"Satu bab lagi, kalau kita dapati terdapat pelajar terlibat dalam pilihan raya kecil ini, dan memang di bawah AUKU – sebelum dan selepas dipinda – tidak sewajarnya.

"Kita akan ambil tindakan terhadap mereka jika kita dapat tahu. Saya tidak akan bertoleransi dengan mereka yang melanggar undang daripada dulu lagi," jelasnya.


Mohamed Khalid juga berkata, bantahan terhadap penggunaan e-undi tersebut tidak selari dengan perkembangan zaman dan teknologi kerana banyak negara lain seperti Amerika Syarikat turut menggunakan sistem sedemikian.

"Saya ingat banyak negara pakai e-undi. Pilihan raya Amerika Syarikat untuk anak mudanya pakai e-undi.

"Kita cakap mengenai zaman teknologi ICT, kemudian satu kumpulan pelajar yang sepatutnya berpendidikan dan selari dengan zamannya tidak percaya dengan penggunaan ICT bagi memilih wakil mereka. Saya rasa ini hanya permainan politik," katanya.

[Baca reaksi:
E-undi: Pelajar tempelak menteri]

Kaedah mengundi secara elektronik mula diperkenalkan di Universiti Putra Malaysia (UPM) pada 2003 dan kemudian di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) - juga dalam suasana penuh bantahan.

Selain
menerima bantahan bertubi-tubi oleh beberapa kumpulan pelajar sejak ia diperkenalkan, kumpulan pelajar UPM sendiri pernah memulaukan pilihan raya kampus mereka selama dua tahun berturut-turut, 2005 dan 2006.

Sementara itu, Mohamed Khalid menjelaskan, pilihan raya kampus di seluruh negara akan bermula pada pertengahan bulan ini sehingga awal tahun depan, bergantung kepada keputusan di peringkat universiti masing-masing.

Malaysiakini difahamkan penamaan calon bagi pilihan raya kampus UUM akan berlangsung Khamis ini, manakala pengundian dijadualkan pada 12 Oktober.

Sementara di Universiti Malaysia Perlis pula, pilihan raya kampus bermula esok.

Pro-M bantah e-undi di UUM


Pengerusi kumpulan pro-mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) merancang mengadakan pertemuan dengan Timbalan Naib Canselornya Datuk Dr Ahmad Faiz Hamid berhubung bantahan pelaksanaan kaedah sistem pengundian secara berkomputer.

Kumpulan yang bertentangan dengan pro-Aspirasi itu diwakili oleh pengerusinya Tengku Hasrul Tengku Malek bersama seorang aktivis pelajar kampus itu Chang Kok Wei.

Satu sumber pemimpin pelajar UUM, yang enggan dikenali, memberitahu Malaysiakini hari ini, pertemuan di pejabat Dr Ahmad Faiz dijadual Rabu ini - sehari sebelum penamaan calon - untuk membincangkan isu tersebut.

Pertemuan tersebut susulan surat bantahan kumpulan pro-mahasiswa, atau dikenali juga Pro-M, kepada TNC itu bertarikh 15 September seperti dimuatkan di blog rasmi mereka, tambah sumber itu.

"Kebarangkalian untuk membatalkan pengundian berkomputer mungkin agak sukar, tapi tunggulah keputusannya 7 Oktober ini," katanya.

Sumber itu berkata, inilah julung-julung kali universiti tersebut menjalankan pengundian secara elektronik, yang juga dikenali e-undi, pada pilihan raya kampus itu.

Berdasarkan blog tersebut (promuniutama.blogspot.com), pro-mahasiswa turut melancarkan petisyen secara dalam talian untuk membantah pelaksanaan e-undi sejak penghujung bulan lalu.

Pro-mahasiswa UUM merancang meletakkan lapan calon bagi merebut 35 kerusi yang dipertandingkan, iaitu 11 kerusi umum dan 24 kerusi kolej akademik.

Bagaimanapun kumpulan itu hanya bertanding bagi merebut kerusi umum sahaja dan tidak berhasrat meletakkan calonnya di kerusi kolej akademik kerana tidak cukup calon.

Pro-M yang selalunya lebih kritikal terhadap kerajaan dan pentadbiran kampus cuba memberikan saingan terhadap kumpulan pro-Aspirasi yang menyokong dasar-dasar kerajaan.

Percubaan itu bagaimanapun gagal.

0 ulasan:

Catat Ulasan